Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa perjuangan parti itu perlu diteruskan dengan meletakkan cita-cita rakyat di depan segalanya.
Saifuddin berkata demikian kepada semua ahli parti itu selepas pengumuman keputusan pemilihan pada Kongres Nasional PKR, semalam.
“Buat rakan-rakan yang tidak terpilih kali ini, saya kongsikan mutiara kata ibu saya. Jika tak dihargai, bawalah hati kamu pergi. Jika dihina, mundur sedikit langkahmu, anak.
“Ini bukan soal takut atau mengalah. Ini tentang kita yang masih punya hati untuk memanusiakan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Nurul Izzah Anwar berjaya merampas jawatan kedua parti itu daripada penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nurul Izzah meraih sebanyak 9,803 undi manakala, Rafizi pula memperoleh 3,866 undi.
Bagaimanapun, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau menyerahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan perselisihan yang berlaku sepanjang kempen pemilihan berlangsung.
“Saya petik pantun yang pernah diungkap oleh Presiden. Akar hidup meresap-resap, akar mati dalam perahu. Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu?”
“Saya serahkan kepada (Anwar) untuk memadam api yang tidak terlihat di mata dan terus memimpin keluarga besar ini. Menyatukan yang berselisih dan menyambung semula yang retak,” jelasnya.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum ke-16, Saifuddin berkata, beliau yakin dan percaya dengan kepimpinan Anwar, parti itu mampu untuk terus membawa harapan rakyat.
“Kami akan terus menyokong. Kami akan terus berdiri teguh kerana perjuangan ini belum selesai,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Jika tidak dihargai, bawalah hati kamu pergi – Saifuddin appeared first on Kosmo Digital.