Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Malaysia meraikan kehadiran lima ahli baharu dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 yang berlangsung di ibu negara hari ini, sekali gus menandakan babak baharu kerjasama keselamatan dan pertahanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kehadiran menteri-menteri pertahanan baharu itu mencerminkan semangat segar dan dinamisme yang diperlukan untuk memperkukuh perpaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran semasa.
“Izinkan saya menyampaikan ucapan selamat datang khas kepada rakan-rakan yang menyertai ADMM buat pertama kali iaitu, Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral Sjafrie Sjamsoeddin, Menteri Pertahanan Negara Lao PDR, Leftenan Jeneral Khamlieng Outhakaisone, Menteri Penyelaras Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing dan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.
“Ucapan selamat datang khas juga kepada Timor-Leste, yang diwakili oleh Donaciano do Rosario da Costa Gomes, sebagai ahli terbaharu keluarga ASEAN kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan ADMM ke-19 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, tetapi menandakan detik bersejarah yang membawa kebijaksanaan, semangat baharu dan perspektif segar dalam perjalanan ASEAN.
Dalam pada itu, beliau mewakili Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada Filipina dan Vietnam yang baru-baru ini dilanda bencana alam, masing-masing akibat taufan serta banjir.
“Kita berdiri teguh bersama semua yang terkesan dan menegaskan kesediaan kita untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan.
“Dalam menghadapi kesusahan, kekuatan ASEAN tetap terserlah melalui perpaduan, keprihatinan dan semangat kebersamaan yang tidak tergugat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lima ahli baharu Mesyuarat Menteri Pertahanan diraikan appeared first on Kosmo Digital.