Auto Added by WPeMatico

![]()
IPOH-MIC menegaskan keutamaannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah untuk memenangi kerusi yang diperuntukkan Barisan Nasional (BN), bukannya menuntut tambahan kerusi untuk ditandingi.
Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata, keutamaan MIC ketika ini adalah membantu BN dalam PRN dan sebarang keputusan mengenai agihan kerusi perlu dibuat berdasarkan peluang kemenangan terbaik.
“Semua pihak perlu faham bahawa ini bukan soal mendapatkan lebih banyak kerusi, apa yang penting adalah memenangi kerusi yang diperuntukkan.
“Jadi, kita perlu memilih pendekatan terbaik. Ia bukan lagi soal mahu lebih banyak kerusi atau menuntut kerusi tertentu. Semua orang mahu (lebih banyak kerusi), tetapi jika tidak menang, rugilah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Keluarga sempena Ulang Tahun MIC ke-80 di Taman D.R Seenivasagam, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy.
Menurut Vigneswaran, rundingan kerusi untuk PRN Johor telah dimuktamadkan manakala rundingan bagi PRN Melaka yang dijangka diadakan dalam masa terdekat dipercayai tidak berdepan masalah.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah dan kerusi yang akan ditandingi MIC di Johor kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Itu terpulang kepada Pengerusi BN untuk umumkan, saya tiada kuasa,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
The post PRN Johor: MIC fokus menang kerusi diperuntukkan, bukan tambah jumlah appeared first on Kosmo Digital.
