Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pengumuman pengambilan sukarelawan bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain 2026 mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial selepas kadar elaun ditawarkan dikatakan hanya RM60 sehari.
Perkongsian mengenai peluang menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan acara berprestij itu mula mendapat perhatian apabila ramai netizen menyifatkan jumlah tersebut terlalu rendah berbanding skala penganjuran perlumbaan antarabangsa berkenaan.
“F1 datang semula, tapi elaun sukarelawan RM60 sehari sahaja?” tulis Asyraf.
Rata-rata komen netizen membandingkan tanggungjawab sukarelawan yang dijangka perlu berdepan tempoh kerja panjang, jumlah pengunjung yang ramai serta tekanan menguruskan acara bertaraf dunia.
“Kalau kerja seharian di kawasan acara besar, RM60 macam tidak berbaloi. Dengan kawasan luas, panaskan, perlu berdiri lebih 8 jam,” kata Norhim.
Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial berpandangan penyertaan sebagai sukarelawan bukan semata-mata kerana bayaran, sebaliknya peluang merasai pengalaman berada di belakang tabir acara F1.
“Pengalaman itu mungkin lebih bernilai. Bukan semua orang dapat peluang berada dekat dengan suasana perlumbaan F1,” komen @MfMaz.
“Rasa tak berbaloi, jangan mohon. Ini pertikai nilai amaun, jam kerja, keadaan kerja bagai tapi mohon jugak sebab apa? Sebab duit tak cukup nak beli tiket. Dah menyusahkan org lain yang mohon dan tak merungut langsung pasal nilai amaun, jam kerja dan keadaan kerja,” kata Ayiemzazaa.
Terdahulu, media melaporkan pengambilan sukarelawan F1 Grand Prix Bahrain telah dibuka oleh Sepang International Circuit (SIC) melalui laman sesawang https://www.sepangcircuit.com/volunteer-application dengan tawaran elaun RM60 sehari selain penyediaan makanan sepanjang tugasan.
Perlumbaan dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026.
Sementara itu, jadual bertugas pula bergantung kepada tugasan yang diberikan serta keperluan pihak penganjur.
Antara syarat dan kriteria yang diminta adalah butiran peribadi, alamat kediaman serta pengalaman terdahulu sebagai sukarelawan di SIC (jika ada). – KOSMO! ONLINE
The post Elaun RM60 sehari sukarelawan F1 dipertikai netizen appeared first on Kosmo Digital.
