Auto Added by WPeMatico

SETIU – Seorang lelaki berusia 57 tahun maut dipercayai akibat dipatuk haiwan berbisa yang masih belum diketahui spesiesnya di Kampung Payung di sini hari ini.
Mangsa, Abdul Kadir Setapa dikatakan terkena patukan itu sewaktu berada di bilik air rumahnya pada pukul 11 pagi.
Anak saudaranya, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata, dia bergegas ke rumah bapa saudaranya sebaik dimaklumkan insiden itu oleh isteri mangsa.
“Saya difahamkan bapa saudara saya (Abdul Kadir) sempat menghubungi isterinya yang ketika kejadian sedang bekerja di sebuah dewan makan sebuah sekolah berhampiran.
“Ibu saudara saya telah menghubungi saya untuk meminta bantuan. Sebaik tiba, saya mendapati bapa saudara saya itu sedang lemah bersandar di kerusi di ruang tamu dengan kesan gigitan pada kaki kanannya,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Payung di sini hari ini.
Muhamad Rafizal berkata, dia segera membawa bapa saudaranya, Abdul Kadir ke hospital dengan bantuan seorang rakan sekampung.
Begitupun, dia berkata, tidak lama kemudiannya salah seorang anak mangsa memaklumkan bapanya yang mempunyai sejarah penyakit jantung dan asma telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris mengesahkan kematian mangsa dan setakat ink puncanya masih belum diketahui.
“Bedah siasat akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kematian mangsa. Setakat ini, ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.
The post Lelaki maut dipercayai dipatuk haiwan berbisa dalam bilik air appeared first on Kosmo Digital.