Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan termasuk makanan kucing, jem roti dan selipar milik sebuah pasar mini, Ahad lalu.
Tertuduh, Chua Kuan Jie, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri lima peket makanan kucing, pewangi, jem roti dan sepasang selipar daripada milikan pasar mini Speedmart di Taman Merdeka, Batu Berendam, kira-kira pukul 5.30 petang, 10 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dipenjara dan juga dikenakan denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja, selain sedang menerima rawatan sakit mental di hospital dan ditanggung oleh ibunya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 23 September ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE.
The post Lelaki didakwa curi makanan kucing rayu ada masalah mental appeared first on Kosmo Digital.