Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Penganjuran larian denai ‘The Magnificient Baling 100’ (TMB100) 2025 dijangka berlangsung lebih meriah apabila menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus dari segi penyertaan.
Difahamkan, lebih 2,200 peserta dari pelbagai negara sudah mengesahkan penyertaan untuk menyertai larian yang akan berlangsung di sekitar pekan Baling pada 15 hingga 16 Ogos nanti.
Penganjur kejohanan, Mohd. Bukhari Ismail berkata, penyertaan dalam acara ultra, iaitu 50 kilometer (km) dan 100km menunjukkan peningkatan selain kategori 25km dan 10km turut mendapat sambutan.
“Kami mula memperkenalkan acara TMB100 ini pada tahun 2023 dengan jumlah penyertaan ketika itu sekitar 700 orang sahaja. Kemudian, jumlahnya meningkat hampir 1,000 peserta tahun lalu dan kali ini sudah menerima pendaftaran kira-kira 2,200 peserta.

“Apa yang menarik, penyertaan untuk larian ultra juga meningkat berbanding dua edisi terdahulu. Ini membuktikan peminat acara larian denai semakin meminati acara larian jarak jauh,” katanya.
Setakat ini, kejohanan itu sudah pun mendapat penyertaan peserta dari 13 buah negara termasuk Brunei, China, Chad, Indonesia, Korea Selatan, Filipina, Rusia, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Vietnam selain pelari tempatan.
Selain menerapkan gaya hidup sihat, penganjuran TMB100 turut mempromosikan Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan berdasarkan keadaan daerah itu yang memiliki pelbagai bentuk muka bumi.
Antara laluan yang bakal diharungi peserta-peserta nanti adalah melibatkan kawasan sawah padi, bukit, beberapa jenis gua serta kawasan perkampungan tradisional. – KOSMO! ONLINE
The post Larian TMB100 2025 lebih meriah appeared first on Kosmo Digital.