Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam satu penipuan yang menggunakan namanya bagi memperdaya orang ramai.
Zulkifli dalam hantaran di aplikasi X berkata terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar dengan menghantar mesej WhatsApp kononnya dirinya menawarkan sumbangan sebanyak RM50,000.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun diminta membayar ‘wang pendaftaran’ sebanyak RM200 terlebih dahulu.
“Saya menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah satu penipuan dan eksploitasi yang sangat dikesali,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya terhadap mesej atau panggilan yang mencurigakan.
Zulkifli juga menyarankan mangsa yang sudah terperdaya agar segera membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap dalang penipuan berkenaan.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjejaki dalang di sebalik penipuan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang tipu daya,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Scammer guna nama Dr. Zulkifli tipu tawaran sumbangan RM50,000 appeared first on Kosmo Digital.