Auto Added by WPeMatico
Letak jawatan YDP Pas Marang, Ahmad Samsuri mahu fokus susun strategi PRU-16

BESUT – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan beliau meletakkan jawatan sebagai Yang diPertua Pas Marang dalam pemilihan parti pada Sabtu lalu bagi memberi tumpuan terhadap tugas nya sebagai Naib Presiden parti itu.
Ahli Parlimen Kemaman itu juga mahu memberi fokus dalam kerja-kerja mengatur strategi parti dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.
“Sampai masa kita perlu gilap pemimpin lain untuk meneruskan di pelbagai peringkat supaya ada pembahagian gerak kerja.
“Saya boleh fokus kepada tugas (sebagai) naib presiden (Pas) dan melihat strategi keseluruhan dalam PRU-16,” katanya ketika ditemui di rumah Muhammad Mustaqim Rosde di Kampung Telaga Nibung, Hulu Besut di sini hari ini.
Beliau juga meluangkan masa menyantuni 15 keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, biarpun sedang diuji masalah kesihatan, kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang masih diperlukan sebagai Presiden Pas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang tersebut berkata, kepimpinan dan buah fikiran Abdul Hadi sangat penting bagi membolehkan Pas mengekalkan prestasi cemerlang dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
“Prestasi terbaik Pas sebagai parti terbesar negara dengan hampir 200 wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada zaman Tuan Guru (Abdul Hadi).
“Harap momentum dapat diteruskan.
Kita berdoa Tuan Guru (Abdul Hadi) selamat menjalani prosedurnya dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Letak jawatan YDP Pas Marang, Ahmad Samsuri mahu fokus susun strategi PRU-16 appeared first on Kosmo Digital.