Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Penghargaan baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) 2025 berjumlah RM150 juta yang tidak dibelanjakan atau tidak dituntut sehingga 31 Disember 2025 akan diagihkan semula untuk keperluan golongan tumpuan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi penghargaan Sara sekali bayar tahun lalu, lebih 21 juta rakyat Malaysia telah membuat perbelanjaan iaitu 96 peratus daripada keseluruhan jumlah penerima dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion.
Beliau berkata, baki penghargaan yang tidak dibelanjakan itu akan diagihkan kepada empat gologan yang terdiri daripada penghuni pusat perlindungan, khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Selain itu, pelajar orang kurang upaya dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan serta pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan.
“Wang tersebut juga akan diberikan untuk penubuhan serta pengukuhan bank masakan dapur siswa, dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta menteri kewangan menyatakan jumlah peruntukan program Sara melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.
Amir Hamzah berkata, pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan ketelusan dan kecekapan pengurusan kewangan awam, malah memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.
“Tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin memperlihatkan keutamaan Kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan.
“Langkah ini turut membuktikan keupayaan Kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pada tahun ini, sebanyak RM15 bilion disediakan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara berbanding RM10 bilion pada 2024 untuk manfaat lebih 8 juta penerima.
“Bantuan ini, khususnya Sara merupakan mekanisme bantuan bersasar yang membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Berdasarkan data tahun 2025, hampir 5.6 juta penerima Sara bulanan di bawah STR telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan sebanyak 99 peratus.
“Jumlah tersebut merekodkan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM4.8 bilion daripada peruntukan RM5 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post RM150 juta wang Sara tidak dituntut diagih kepada golongan tumpuan appeared first on Kosmo Digital.