Auto Added by WPeMatico

SEGAMAT – Kerosakan kecil melibatkan 15 bangunan kerajaan akibat enam gempa bumi yang berlaku di daerah ini sejak 24 Ogos lalu memerlukan peruntukan sebanyak RM550,000 bagi kos pembaikan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja baik pulih berkenaan perlu dilakukan segera selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.
Beliau berkata, antara bangunan yang terkesan adalah Hospital Segamat, Klinik Kesihatan (KK) Segamat, Bandar Putra Segamat, kuarters kesihatan Batu Anam, Klinik Desa Kampung Jabi, kuarters Polis Daerah Segamat, Pejabat Kadi Daerah Segamat, kuarters negeri Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kolej Komuniti Daerah Segamat.
“Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, SJKC HSA Nan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dan SK Dato’ Wan Idris juga terkesan.
“Semua bangunan tersebut mengalami kerosakan kecil seperti keretakan permukaan plaster, pepenjuru dinding selain regangan antara panel dinding, regangan antara panel dinding dengan tiang dan rasuk serta regangan antara siling dengan dinding.
“Kos pembaikpulih bangunan-bangunan berkenaan akan ditanggung kementerian yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKR Daerah Segamat di sini hari ini. Turut hadir, Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat, Ir. Muhammad Yusri Zainal.
Tambah beliau, Pasukan Forensik Cawangan Kejuteraan Awam dan Struktur (CKAS) JKR turut melaksanakan pemeriksaan terhadap keselamatan bangunan-bangunan tersebut dan mendapati ia selamat digunakan ekoran tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 62 buah rumah penduduk dan dua surau turut mengalami kerosakan namun jumlah kerugian masih belum dikenal pasti.
Tambahnya, pihak JKR turut melakukan pemeriksaan bangunan dan pemantauan terhadap aset serta jambatan di jalan Persekutuan melibatkan 325 kilometer (KM) dan jalan negeri 242.11 KM.-KOSMO! ONLINE
The post Kos baiki kerosakan 15 bangunan akibat gempa bumi RM550,000 appeared first on Kosmo Digital.