Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Tular di media sosial foto memaparkan peguam terkenal, Datuk Ram Singh menziarahi pusara Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang, Sabah, hari ini.
Menerusi beberapa video dan gambar tular dimuat naik di TikTok, kehadiran beliau di tanah perkuburan itu difahamkan sebagai tanda solidariti serta penghormatan terhadap Allahyarham.
Sebelum ini, Ram Singh menangkis tuduhan orang ramai bahawa remaja yang dituduh terbabit kes Zara Qairina merupakan anak daripada kalangan orang ternama.
Beliau menjelaskan pembelaan yang dibuat terhadap tertuduh tanpa sebarang bayaran oleh ahli keluarga remaja terbabit.
Pasukan Ram turut disertai dua lagi peguam iaitu Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang tertanya-tanya mengenai kehadiran Ram Singh di kubur Zara Qairina, hari ini selain mendoakan agar perbicaraan selepas ini dipermudahkan.
“Biar pun perbezaan agama tetapi tetap ia tidak menghalang Datuk untuk ziarah kubur Allahyarham, semoga selepas ini baik-baik sahaja buat Datuk,” komen Nurafidah.
“Kali pertama tengok peguam yang membela tertuduh datang ziarah kubur mangsa,” komen @Juneidris.
“Apa jua kebenaran selepas ini harap dipermudahkan buat Datuk dan keluarga mangsa juga,” komen @Aisy.
Allahyarham Zara Qairina, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pertama kali lihat peguam tertuduh ziarah kubur mangsa’ appeared first on Kosmo Digital.