Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Wartawan tersohor, mendiang Datuk Karam Singh Walia, 67, dikenali sebagai seorang bapa tegas yang menekankan penggunaan dan penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Perkara itu dimaklumkan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Melvinder Singh Walia, 42, apabila mendiang bapanya tidak berkompromi dan menegur sekiranya mereka tersilap sebut perkataan atau menggunakan perkataan bahasa itu.
Malah kata anak kedua daripada tiga beradik itu, mereka dikehendaki memperoleh markah 90 peratus ke atas bagi mata pelajaran bahasa sama ada Inggeris atau Melayu.
“Dia buat macam itu supaya kami (sekeluarga) kuasai dua bahasa ini, selain bahasa Punjabi untuk kegunaan apa-apa urusan.
“Selain penguasaan bahasa, ayah juga selalu ingatkan kami belajar bersungguh-sungguh supaya dapat berkhidmat dengan masyarakat dan negara pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di rumah mendiang, di sini, hari ini.
Melvinder berkata, Karam Singh menghidap barah hati tahap empat sejak 2024 dan uzur tiga bulan kebelakangan ini, namun masih mampu berjalan dan bercakap.
Upacara pembakaran mayat Karam Singh akan diadakan di Krematorium Simpang Lima, Klang, petang ini
Karam Singh dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007. – KOSMO! ONLINE
The post Karam Singh Walia dikenang bapa tegas kuasai bahasa appeared first on Kosmo Digital.
