Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah projek solar yang dihadapi di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas menolak rayuan Rosmah selaku perayu selain mendapati rayuan yang difailkan tidak mempunyai merit.
“Pihak perayu telah gagal menunjukkan terdapat merit dalam rayuan dengan itu mahkamah (Mahkamah Rayuan) menolak rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 1 September 2022,” kata Hakim Ahmad Zaidi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Rosmah, 74, memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamed Zaini Mazlan pada 2022 dua hari sebelum keputusan kes solar itu dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya “penghakiman kes didakwa bocor”.
Pada 1 September tahun yang sama, Hakim Mohamed Zaini (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) telah memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.
Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. – KOSMO! ONLINE
The post Rosmah gagal singkir hakim kes solar appeared first on Kosmo Digital.