Auto Added by WPeMatico

![]()
BAGAN DATUK – Bau busuk yang dihidu seorang pekerja pembersihan membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam longkang di Kilometer 155.7, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 3.39 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan mangsa terbongkar selepas pekerja pembersihan yang menjalankan kerja memotong rumput terhidu bau busuk sebelum menemukan rangka manusia bersama sebuah motosikal di dalam longkang.
“Kita percaya mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dari arah Teluk Intan menghala ke Sabak Bernam telah terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Mangsa dipercayai tidak mendapat sebarang bantuan sehingga kejadian itu disedari. Turut ditemukan bersama mangsa ialah barangan peribadi termasuk telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai yang dipercayai miliknya,” katanya di sini hari ini
Menurut beliau, semakan lanjut juga mendapati satu laporan kehilangan telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Teluk Intan semalam.
“Rangka manusia yang ditemukan itu dipercayai milik seorang lelaki berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-536 4619 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Bau busuk bawa penemuan mayat lelaki yang hilang sejak 29 Julai appeared first on Kosmo Digital.
