Auto Added by WPeMatico

LONDON – Penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan pemain Liverpool untuk memastikan kemenangan 3-2 pada penentuan penalti aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, sebentar tadi.
Dalam aksi 90 minit, kedua-dua pasukan terikat 2-2 namun aksi ditonjolkan The Eagles di babak kedua nyata menarik perhatian dan menyerlahkan kualiti sebenar yang ada pada anak buah Oliver Glasner.
Terdahulu, Liverpool yang berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini segera menyenaraikan empat pemain baharu, Milos Kerkez, Hugo Ekitike, Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong dalam kesebelasan utama.
Kualiti yang ada pada The Reds menyaksikan kelab itu hanya memerlukan empat minit untuk membuka jaringan menerusi Ekitike namun kelebihan itu hanya bertahan 13 minit, menyaksikan Jean-Philippe Mateta kembali menyamakan kedudukkan buat Crystal Palace.
Bagaimanapun, berselang empat minit selepas itu Liverpool kembali berada di depan dan kali ini giliran Frimpong cipta sensasi apabila sepakan dilakukannya melepasi jangkauan Henderson.
Aksi sedikit berbeza dijelmakan Crystal Palace di babak kedua apabila dilihat agak agresif menyaksikan Mateta dan Ismaila Sarr beberapa kali menghadirkan situasi cemas buat penyokong Liverpool.
Usaha bertali arus dilakukan Crystal Palace menyaksikan Cody Gakpo melakukan kesilapan hilang bola di tengah padang dan kesempatan pada minit ke-77 pantas dihukum oleh Sarr yang tenang meledak gol kedua The Eagles.
Pada penentuan sepakan penalti, Mohamed Salah, Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott gagal melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna sekali gus membolehkan kejuaraan Perisai Komuniti musim ini menjadi milik Crystal Palace. – KOSMO! ONLINE
The post Perisai Komuniti: Crystal Palace bangkit kecewakan Liverpool appeared first on Kosmo Digital.