Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram bernilai RM1.6 juta serta 75 kepingan emas dianggarkan bernilai RM400,000 daripada enam individu yang disyaki terlibat dalam sindiket counter setting.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, sitaan tersebut dibuat menerusi operasi khas Op Rentas yang dijalankan SPRM Selangor pada 9 dan 11 September lalu.
Beliau berkata, lima daripada pemilik barangan itu merupakan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di lapangan terbang dipercayai menerima wang daripada ejen-ejen sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga asing ke negara ini.
“Antara barangan lain yang turut disita ialah sebidang tanah lot, rumah, beberapa buah kenderaan mewah, pelbagai jenis beg tangan dan jam tangan berjenama sebanyak 20 utas yang bernilai anggaran RM100,000 serta wang tunai RM20,000.
“SPRM Selangor juga telah membeku akaun-akaun yang berkaitan sebanyak 70 akaun bank yang menjadikan keseluruhan sitaan berjumlah sekitar RM 3.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Khusairi berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post SPRM rampas 3.2kg emas milik lima pegawai imigresen appeared first on Kosmo Digital.