Auto Added by WPeMatico

MADRID – Bintang tenis Amerika Syarikat (AS) , Coco Gauff melakukan kejutan apabila menyingkirkan bekas juara Terbuka Madrid, Iga Swiatek dengan kemenangan straight set 6-1, 6-1 di pentas separuh akhir awal pagi tadi.
Gauff menampilkan aksi bertenaga untuk menamatkan rekod buruk menentang Swiatek kerana sebelum ini dia tewas kesemua pertemuan kepada pemain Poland itu di gelanggang tanah liat.
Kemenangan tersebut membolehkan Gauff melangkah ke final pertama kejohanan berstatus WTA 1000 itu dan bakal berdepan pilihan utama, Aryna Sabalenka di final petang esok.
Swiatek mengakui kecewa dengan penampilannya dan gagal untuk keluar daripada melakukan kesilapan mudah sebelum tumpas dengan keputusan buruk.
“Sejujurnya, tiada apa untuk dibincangkan kerana keseluruhan perlawanan berlangsung dengan corak yang sama dari awal hingga akhir.
“Saya tidak berjaya mencapai tahap permainan sebenar. Coco (Gauff) bermain dengan bagus, tetapi saya gagal bergerak dengan baik dan tidak bersedia menentang pukulan-pukulan berat. Ia satu persembahan yang mengecewakan,” kata Swiatek.
Sementara itu, Sabalenka mara ke final ketiganya secara berturut-turut di Madrid selepas menewaskan Elina Svitolina dari Ukraine dengan keputusan 6-3, 7-5.
Pemain berusia 26 tahun itu yang juga juara dua kali kejohanan tersebut, bersedia untuk bertarung dengan Gauff. – AGENSI
The post Swiatek kempunan ke pentas final appeared first on Kosmo Digital.