Auto Added by WPeMatico

SUDAH setahun Sukan Paralimpik Paris 2024 melabuhkan tirai, namun habuan RM60,000 yang diumumkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) masih belum kelihatan.
Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meluahkan kekecewaan apabila janji Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin untuk memberi ganjaran itu gagal ditunaikan sehingga kini.
“Jumlah yang dijanjikan memang RM60,000, tapi sampai sekarang kami tak terima lagi. Dah setahun, apa lagi yang boleh kami harapkan?” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Liek Hou, pengumuman ganjaran daripada tiga syarikat luar itu dilakukan sendiri oleh Megat sebelum temasya Paralimpik Paris dan wajar bertanggungjawab memastikan janji berkenaan ditunaikan.
“Kalau syarikat luar tak bagi respons, presiden MPM patut ambil tanggungjawab. Dia yang umum, jadi dia kena selesaikan. Takkan masalah kecil macam ini pun tak boleh selesai,” ujarnya lagi.
Malah, atlet kini berasa seolah-olah dipermainkan kerana ketika diperlukan, pelbagai janji manis ditaburkan, tetapi selepas kejayaan, semuanya hilang begitu sahaja.
“Masa nak result (keputusan), apa pun boleh dijanjikan. Lepas dapat pingat, apa yang mereka buat untuk kami atlet para?” tambahnya.
Liek Hou menegaskan, sekiranya dana luar tidak disalurkan, MPM sepatutnya mencari jalan lain untuk menunaikan janji tersebut kerana jumlah itu mungkin kecil bagi presiden, tetapi amat besar nilainya buat atlet-atlet para.
Lebih mengecewakan, janji lain termasuk tawaran kereta kepada pemenang pingat emas juga tidak ditunaikan apabila tawaran tersebut akhirnya ditarik balik, sekali gus menambahkan rasa hilang kepercayaan dalam kalangan atlet. – KOSMO! ONLINE
The post Kecewa janji masih belum ditunaikan appeared first on Kosmo Digital.