Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah disyaki jenis kokain dalam satu serbuan di sebuah hotel sekitar Ampang Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu.
Dadah berkenaan dipercayai rampasan pertama seumpamanya di negara ini membabitkan kokain dalam bentuk cecair vape.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, serbuan kira-kira pukul 3.45 pagi itu berjaya menahan empat suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 57 tahun dan tiga warga Singapura masing-masing berumur 46, 25 dan 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire milik sindiket itu, polis menemui 10 kotak berisi 4,958 cartridge (katrij) vape yang mengandungi cecair disyaki dadah kokain seberat keseluruhan 9,420.2 mililiter.
“Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah RM7.2 juta,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, modus operandi sindiket ini ialah menyewa premis jenis Airbnb pada kadar RM300 sehari untuk dijadikan tempat memproses dan membungkus semula cartridge vape berisi dadah tersebut sebelum dihantar ke luar negara.
“Salah seorang suspek didapati positif dadah jenis ketamin menerusi ujian saringan awal, manakala dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.
“Suspek tempatan mempunyai dua rekod jenayah manakala salah seorang warga Singapura pernah dipenjara atas kesalahan mengedar dadah di Singapura pada tahun 2003,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya turut menyita beberapa barang bernilai RM2,975 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta), menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM7.296 juta.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Pihaknya percaya sindiket ini menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk pasaran dadah antarabangsa kerana kokain amat sukar diperoleh di rantau Asia Tenggara dan lazimnya digunakan oleh golongan elit.
“Satu katrij kecil mengandungi kokain ini boleh disedut sehingga 100 kali dan dijual pada harga mencecah RM1,500 seunit di pasaran antarabangsa,” katanya.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak Mac lalu dan dipercayai menggunakan laluan darat dari selatan tanah air untuk menyeludup masuk kokain sebelum diproses di ibu negara.
Empat suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 Jun bagi membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Vape ‘kayangan’ sedut 100 kali, RM1,500 melayang appeared first on Kosmo Digital.