Auto Added by WPeMatico

PENYERANG naturalisasi negara, Paulo Josue membuktikan status ‘kuda tua’ bukan penghalang untuk terus menyinar di pentas antarabangsa selepas menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Cape Verde 1-1 pada aksi persahabatan kelmarin.
Pada perlawanan itu, Josue yang dimasukkan sebagai pemain gantian bagi menggantikan Safawi Rasid hanya memerlukan dua minit untuk menjaringkan gol untuk menceriakan lebih 10,000 penyokong yang hadir di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Kata Josue, peluang untuk beraksi di venue keramat kelab yang diwakilinya, Kuala Lumpur City (KL City) itu juga cukup istimewa dengan memastikan sentuhan emas masih dapat dihasilkan ketika menyarung jersi kebangsaan.
“Saya dah lama bermain di Cheras, tapi malam ini lain macam. Gol ini sangat istimewa, sebab saya wakili negara. Sentuhan pertama saya dan terus gol. Ia adalah pengalaman yang sukar dipercayai.
“Mengenai prestasi pasukan, kami sebenarnya baru berlatih 10 hari selepas rehat panjang 30 hari tanpa perlawanan. Namun, syukur semuanya berjalan lancar. Saya rasa Cape Verde juga rasa ‘bahang’ cuaca Malaysia pada aksi kali ini,” kata pemain berusia 36 tahun ini.
Mengulas lanjut, Josue turut gembira dengan prestasi dua ubi muda negara, Gabriel Palmero dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili yang menunjukkan potensi tinggi dan wajar terus diberi peluang beraksi di pentas antarabangsa.
“Ubai (Ubaidullah) sangat tenang walaupun pertama kali main dengan skuad senior. Gabi (Palmero) pun walaupun bukan posisi biasa di pertahanan kanan, beraksi bagus. Mereka patut terus diberi pendedahan,” katanya.
The post Josue manfaat tuah stadium sendiri appeared first on Kosmo Digital.