Auto Added by WPeMatico

TORONTO – Caleb Yirenkyi muncul wira buat pasukan Ghana apabila berjaya meledak gol pada minit ke-95 untuk menghadiahkan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Panama dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia 2026, sebentar tadi.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir tanpa jaringan, Yirenkyi memecahkan kebuntuan pada saat-saat akhir hasil penyudah tenang selepas menerima hantaran Brandon Thomas-Asante untuk memastikan tiga mata berharga menjadi milik Black Stars.
Kemenangan itu meletakkan Ghana dalam kedudukan yang lebih baik dalam saingan Kumpulan L, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
Beraksi dalam keadaan hujan di Stadium Toronto, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dengan Panama terlebih dahulu mencipta beberapa peluang berbahaya pada babak pertama perlawanan.

Penjaga gol Ghana, Lawrence Ati-Zigi menjadi benteng utama pasukannya apabila berjaya menepis keluar percubaan berbahaya Panama sebelum terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua akibat kecederaan.
Panama terus agresif mencari gol kemenangan menerusi Cristian Martinez dan Carlos Ramos, namun kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan mereka dihukum pada penghujung perlawanan.
Ketika kedua-dua pasukan seakan bersedia berkongsi satu mata, Ghana melancarkan serangan terakhir pada masa kecederaan sebelum Thomas-Asante bijak menyediakan lorongan buat Yirenkyi yang tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk memastikan mereka meraih tiga mata penting pada aksi pembukaan Kumpulan L tersebut. -AGENSI
The post Piala Dunia 2026: Ghana curi tiga mata di penghujung perlawanan appeared first on Kosmo Digital.
