Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Kegiatan e-hailing haram yang dijalankan pemandu Singapura semakin berleluasa apabila mengaut untung dengan mengenakan bayaran tinggi untuk membawa penumpang dari Republik itu dan warganegara asing masuk ke Malaysia.
Bagaimanapun, operasi mereka terbantut setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita empat kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan dalam Ops Khas E-hailing Kenderaan Asing sejak Sabtu lalu di sekitar daerah ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, empat lelaki warga Singapura berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu dikesan menyediakan perkhidmatan awam tanpa lesen (e-hailing) melalui laluan Singapura atas tujuan melancong.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak mempunyai lesen pengendali yang sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan tidak mempunyai cukai jalan.
“Siasatan yang dijalankan mendapati mereka ini menggunakan platform media sosial termasuk Whatsapp dan Telegram untuk mencari pelanggan. Kita juga telah mengenal pasti hotspot di mana mereka mengambil pelanggan.
“Mereka ini mengaut untung dengan mengenakan caj yang tinggi iaitu SGD180 (RM630) dikenakan bagi setiap penumpang bagi ke JB Sentral manakala SGD200 (RM700) untuk ke Legoland. Bagi trip pelancongan seperti ke Ipoh, mereka kenakan bayaran SGD1,200 (RM4,200) setiap seorang,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Khas e-hailing kenderaan asing di JPJ Johor, malam kelmarin.
Empat kenderaan MPV yang disita ialah Toyota Alphard, Vellfire, Honda Spada dan Toyota Hiace.-KOSMO! ONLINE
The post MPV Singapura tawar e-hailing haram, caj sampai RM4,200 appeared first on Kosmo Digital.