Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Seorang buruh binaan warga Myanmar yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan rakan senegaranya di tapak projek perumahan di sini pada 20 Julai lalu berjaya diberkas di sebuah rumah di Pulau Pinang, malam tadi
Suspek lelaki berusia 59 tahun itu dilihat dalam keadaan terhincut-hincut ketika dibawa ke Mahkamah Sungai Petani, hari ini untuk proses reman.
Dia dikatakan mengalami kecederaan di kaki dan paha dipercayai akibat pergaduhan dalam kejadian tersebut.
Majistret Noor Fazlina Musa kemudian memerintahkan suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditangkap ketika bersembunyi di sebuah rumah di Simpang Ampat,Pulau Pinang dan dipercayai sedang menunggu peluang untuk melarikan diri ke negaranya.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah sejak lebih lapan tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya yakin pengakuan suspek yang mengaku menikam mangsa dalam kejadian itu berjaya menyelesaikan kes berkenaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki Myanmar berusia lingkungan 30-an ditemukan mati dalam keadaan ngeri apabila ususnya terburai selain kesan kecederaan pada leher dan perut dipercayai dibunuh di tapak projek perumahan di sini.
Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11.40 malam, 20 Julai lalu berpunca daripada pertengkaran sesama mereka ketika mabuk sebelum mangsa ditikam menggunakan senjata tajam. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Myanmar bunuh rakan dicekup ketika bersembunyi di Pulau Pinang appeared first on Kosmo Digital.