Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Penganggur yang dipercayai bertindak membunuh dan menyimpan mayat isteri selama empat hari di bilik tidur rumah mereka di Flat Jalan Tuna, Seberang Jaya, di sini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pagi esok.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! berkata, pendakwaan terhadap lelaki berusia 28 tahun itu akan dijalankan, kira-kira pukul 9 pagi.
Menurutnya, pertuduhan ke atas suspek terbabit akan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
“Ya, polis telah mendapat arahan tuduh terhadap suspek pagi esok,” katanya di sini, petang tadi.
Sebelum ini, Azizee mengesahkan punca kejadian berlaku kemungkinan disebabkan perasaan cemburu suspek terhadap isterinya yang berusia 44 tahun.
Suspek yang digelar dengan panggilan ‘abi’ dalam kalangan anak tirinya juga dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Kejadian kejam itu terbongkar selepas suspek mengaku membunuh dan menyimpan mayat isterinya di dalam bilik tidur selama empat hari sejurus tampil menyerah diri di balai polis berhampiran, Khamis lalu.
Mayat wanita anak lima itu ditemukan dalam keadaan terbaring di atas tilam bilik tidur kediaman mereka dengan lengkap berpakaian. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki bunuh, simpan mayat isteri dituduh di mahkamah esok appeared first on Kosmo Digital.
