Auto Added by WPeMatico

RAUB – Pahang berpotensi muncul sebagai negeri pengeluar lembu wagyu terbesar di Malaysia selepas projek ternakan baka premium itu di Bukit Kajang, Raub menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah ternakan kini mencecah 300 ekor.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dimulakan dua tahun lalu oleh AGK Dairy Fresh Sdn. Bhd. itu diyakini mampu mencapai 1,000 ekor dalam tempoh dua tahun dengan sokongan penuh kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, kita sudah ada 300 ekor lembu Wagyu di sini. Saya ucapkan tahniah kepada Abdul Ghaffar Khan (AGK) dan pasukan yang berjaya melaksanakan projek ini hingga menampakkan hasil.
“Saya juga telah mendengar taklimat dan ada beberapa perkara yang dibangkitkan serta perlu bantuan dan sokongan daripada kerajaan negeri. Jadi kita akan bantu supaya kita akan jadi juara dalam ternakan lembu wagyu di negara ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Ladang Ternakan Ruminan AGK Dairy Fresh Sdn. Bhd. di Bukit Kajang, di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, selain di Raub, projek seumpama itu turut dijalankan di Tanjung Gahai, Lipis dan bakal diperluas ke kawasan lain seperti di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta kerana kesesuaian cuaca, selain sudah terbukti keberkesanannya dalam fasa awal.
Katanya, produk hiliran daripada lembu wagyu seperti susu segar dan keju mempunyai nilai pasaran tinggi dan mampu menjana keuntungan.
“Saya minta dipercepatkan (pembinaan restoran) supaya ia akan menjadi tarikan pelancong sebab ini yang pertama di Semenanjung Malaysia dan sudah pasti orang akan teruja sekiranya dapat sampai ke sini.
“Kalau tengok gambar lembu di sini, orang mungkin takkan sebut di Malaysia atau di Pahang, orang mesti ingat di Australia atau negara lain. Berat seekor lembu boleh cecah 700 kilogram dan saya yakin ia mampu jadi tarikan pelancongan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pahang sedia jadi juara ternakan wagyu negara appeared first on Kosmo Digital.