Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Jumlah permohonan penukaran MyKad di negeri ini melonjak 140 peratus susulan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Budi95, yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan kad pengenalan.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Mohd. Dzulkarnain Baharuddin berkata, peningkatan mendadak itu direkodkan sejak awal pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan.
Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu iaitu selepas pelaksanaan Sara, seramai 1,820 individu telah membuat permohonan penukaran dan jumlah terus meningkat secara mendadak selepas pelaksanaan Budi95.
“Lonjakan lebih besar berlaku selepas pelaksanaan Budi95 bermula pada September tahun lalu dengan kira-kira 4,269 orang membuat permohonan penukaraan MyKad.
“Kalau kita buat perbandingan peratusan bagi inisiatif Sara, dia punya perbezaan adalah peningkatan sebanyak 16 peratus apabila 2024 itu kita cuma terima 1,576 permohonan dalam tempoh sama.
“Sejak pelaksanaan Budi95 pada September lalu pula, jumlah daripada 1,776 pemohon meningkat kepada 4,269 pemohon,” katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka Sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kebanyakan permohonan dibuat kerana masalah cip MyKad yang gagal dibaca oleh mesin di premis tertentu. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan tukar MyKad lonjak 140 peratus kerana Budi95, Sara appeared first on Kosmo Digital.