Auto Added by WPeMatico

KUCHING – Skim subsidi petrol bersasar Budi Madani RON95 (Budi95) harus inklusif untuk pengusaha bot penumpang dan komuniti sungai khususnya di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan, ia adalah keperluan mendesak untuk memastikan inklusiviti bagi pengusaha bot serta komuniti sungai dan pesisir yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan air.
“Kumpulan ini tidak boleh ketinggalan daripada skim tersebut, yang telah diterima baik di seluruh negara dan mencerminkan komitmen kuat kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak akan mengadakan mesyuarat esok dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membincangkan mengenai kemasukan sektor pengangkutan air Sarawak di bawah BUDI95.
Kim Shin menambah sebagai persediaan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) di bawah kementeriannya telah diarah untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, KPDN dan pihak berkuasa berkaitan lain untuk menyediakan data pengangkutan air yang komprehensif di Sarawak.
Katanya data sedemikian adalah penting untuk menyokong hala tuju dasar, pembuatan keputusan yang tepat dan peruntukan kuota, memastikan inklusiviti untuk semua kumpulan yang layak. – KOSMO! ONLINE
The post Budi95 harus inklusif untuk pengusaha bot penumpang, komuniti sungai appeared first on Kosmo Digital.