Auto Added by WPeMatico

![]()
RAWANG – Persembahan cemerlang dua juara bertahan dalam kategori masing-masing mewarnai acara penutup Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 yang diadakan di Kelab Golf Templer Park di sini kelmarin.
Ong Pok Wen dan Imran Marzuki mempertahankan kejuaraan masing-masing dalam kategori Nett dan Gross menewaskan hampir 100 peserta lain yang berentap pada pusingan Grand Finals dalam salah satu siri golf amatur berprestij di rantau ini.
Pok Wen melakukan pencapaian luar biasa memandangkan dia telah memenangi gelaran sama pada pusingan kelayakan di lokasi sama pada 11 Julai lalu.
Imran melakukan skor kukuh 77 sekali gus mengulangi kecemerlangannya ketika berentap di Kelab Golf IOI Palm Villa sebelum ini. Acara itu dikendalikan Prestige Golf Sdn. Bhd yang merupakan rakan rasmi serantau Bridgestone Golf.
Pengarah Urusannya., K. Vasudevan berkata, kejohanan kali kesembilan itu terus memperluas pengaruh dan penyertaannya di seluruh rantau ini.
“Dari Malaysia ke Singapura, Brunei, Vietnam, India dan seterusnya, kejohanan ini telah menghimpunkan para peminat golf yang berkongsi semangat persaingan, kejujuran dan persahabatan.
“Menjelang sambutan ulang tahun ke-10 tahun depan, kami komited untuk menjadikan Bridgestone ASEAN Amateur Open lebih besar, lebih baik, dan lebih menarik untuk komuniti golf serantau,” katanya.
Menurut Vasudevan, sokongan berterusan daripada Tourism Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Golf Malaysia menjadikan kejohanan itu sebahagian daripada produk untuk mempromosikan pelancongan golf di Malaysia.
Tambahnya, majlis Grand Finals juga diraikan dengan sambutan ulang tahun ke-31 Prestige Golf sebagai penghargaan kepada lebih tiga dekad sumbangan syarikat itu dalam pembangunan sukan golf di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Acara kemuncak berprestij ini turut dihadiri oleh rakan kongsi utama dan tetamu kehormat, termasuk Naib Presiden Bahagian Perniagaan Luar Negara Bridgestone Sports Co., Ltd, Yuichi Wada dan Pengarah Urusan Sokio Corporation, Shin Yongwoo.
The post Imran, Pok Wen ungguli Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 appeared first on Kosmo Digital.