Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN: Boustead Holdings Berhad menyasarkan peningkatan hasil kumpulan kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun selaras dengan pelaksanaan strategi baharu yang memberi penekanan kepada industri pertahanan, pembangunan hartanah serta perkhidmatan komersial.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berikutan mandat yang diberikan oleh kerajaan kepada syarikat berkenaan untuk menerajui beberapa projek strategik negara pada masa ini.
“Hari ini kita sudah mencatatkan hasil kumpulan sebanyak RM12 bilion dan kita berharap agar dapat meningkatkan hasil tersebut kepada RM30 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis prapelancaran Boustead 200 – Year Journey, hari ini.
Bermula sebagai sebuah syarikat pertanian, Boustead kini melalui proses penstrukturan semula apabila diberikan fokus baharu oleh pemegang saham serta Kementerian Pertahanan dengan menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pertahanan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan komersial selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan awal tahun ini.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, Boustead turut menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam pembangunan produk teknologi industri pertahanan menjelang 2030 selain mewujudkan kira-kira 400 vendor tempatan dalam ekosistem industri tersebut.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan negara, malah, turut menjadi pemangkin kepada pembangunan industri baharu yang mampu menjana kekayaan kepada negara.
“Boustead kini dipertanggungjawabkan melaksanakan empat Projek Pertahanan Nasional iaitu pembangunan satelit, ‘rolling chassis’ bagi kenderaan berperisai, pengeluaran senjata ringan (small arms) serta Sistem Pengurusan Tempur (Combat Management System).
“Dalam sektor pembangunan hartanah pula, Boustead diberi mandat bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk membangunkan projek Batu Cantonment yang melibatkan pemindahan sembilan kem tentera ke lokasi baharu sebelum kawasan Batu Cantonment dibangunkan sebagai sebuah pusat komersial baharu di tengah-tengah ibu negara,” katanya. – UTUSAN
The post Boustead sasar peningkatan hasil RM30 bilion dalam tempoh lima tahun appeared first on Utusan Malaysia.
