Auto Added by WPeMatico

MARANG – Kedukaan Nur Nabilah Abdul Rahim, 23, yang baru kehilangan ibu bapa serentak dalam tragedi bot terbalik pada tiga minggu lalu sedikit terubat apabila kemasukan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dipermudahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) .
Anak ketiga pasangan Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, itu akan mendaftar masuk ke kampus UMT di Kuala Nerus pada minggu depan.
“Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian di UMT.
“Tidak sangka pengurusan UMT menghulurkan bantuan awal pengajian yang amat meringankan saya untuk mendaftar masuk pada 28 September depan,” katanya selepas disantuni Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim di rumahnya di Pulau Kerengga di sini hari ini.
Sementara itu, Zamri berkata, pengurusan UMT yang kisah Nur Nabilah dan lima adik-beradiknya kehilangan ibu bapa sekelip mata menggerakkan mereka untuk membantu gadis tersebut melanjutkan pelajaran.
Beliau berkata, pengurusan UMT tidak mahu kesedihan dan kesukaran Nur Nabilah yang kehilangan tempat bergantung membantutkan peluangnya untuk menggenggam segulung ijazah.
“Dia (Nur Nabilah) yang merupakan anak pertama dalam keluarganya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti juga layak untuk diserapkan dalam program Sulung yang membolehkan yuran pengajian kelak ditaja sepenuhnya,” katanya.
Kosmo! 2 September lalu melaporkan Abdul Rahim yang merupakan nelayan tradisional maut bersama isterinya, Norhasriah setelah bot fiber dinaiki mereka terbalik sewaktu sedang menangkap ikan di perairan Kuala Merchang. – KOSMO! ONLINE
The post Bot terbalik Merchang: Kemasukan universiti anak mangsa dibantu UMT appeared first on Kosmo Digital.