Auto Added by WPeMatico

LANGKAWI – Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis menahan dua bot pelancong kerana disyaki tidak mempunyai dokumen lesen serta membawa penumpang melebihi had dibenarkan di perairan ini di sini semalam.
Dua bot pelancong tersebut ditahan dalam rondaan rutin Op Aman, Op Tiris 3.0 dan Op Mardof Utara 1/2025 di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika barat Tanjung Kemarong pada pukul 12 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, dua bot yang dinaiki dua tekong tempatan dan 21 penumpang warga asing berkenaan ditahan bot ronda APMM ketika sedang melakukan aktiviti pelancongan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot fiber itu melakukan kesalahan di bawah Ordinan Saudagar Perkapalan 1952 kerana tidak mempunyai dokumen lesen dan di bawah Boat Rule 1953 kerana membawa penumpang melebihi had dibenarkan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kesemua bot berserta barang kes dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM236,000 serta kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.
“APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua bot pelancong tiada dokumen lesen, bawa ramai penumpang ditahan appeared first on Kosmo Digital.