Auto Added by WPeMatico

ARAU – Penggunaan bahan baharu bagi pemasangan penghadang jalan raya konkrit atau besi di negara ini perlu mengambil kira kesesuaian sesuatu kawasan selain justifikasi teknikal bagi memenuhi standard ditetapkan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan sesuatu bahan baharu bagi pemasangan penghadang jalan itu juga perlu dikaji mengikut beberapa elemen termasuk cuaca.
Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak pernah ketinggalan dalam penggunaan bahan-bahan terkini mengikut perkembangan teknologi dan digital semasa.
“Kita sentiasa ada program untuk melihat mana-mana bahan terbaharu untuk diguna pakai ke atas penghadang jalan raya di negara ini.
“Apabila sesuatu bahan terbaharu itu diperkenalkan di pasaran, kita akan ambil sampel untuk tengok kesesuaian di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Turun Padang Menteri Kerja Raya Meninjau Projek Infrastruktur Negeri Perlis, di sini hari ini.
Alexander berkata demikian ketika ditanya sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk menukar penghadang jalan daripada konkrit kepada bahan yang lebih menyerap hentakan dalam memenuhi standard keselamatan ditetapkan.
Sebelum ini, timbul beberapa cadangan agar KKR menggantikan bahan konkrit atau besi pada penghadang jalan raya yang berisiko mendorong kepada kemalangan maut. – KOSMO! ONLINE
The post Bahan baharu ganti penghadang jalan konkrit, besi perlu kajian appeared first on Kosmo Digital.