Auto Added by WPeMatico

BACHOK – Seorang bekas atlet paralimpik sukan angkat berat tidak menyangka video dirinya berjalan keluar dari sebuah bank di Kota Bharu dekat sini tular di media sosial semalam.
Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 44, yang merupakan bekas atlet angkat berat mewakili Kelantan ketika itu keluar dari bank tersebut dengan perasaan kecewa apabila mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kehabisan wang.
Menurutnya, dia sedang berjalan dengan anaknya dan tidak perasan seorang wanita merakam video sebaik saya keluar dari bank berkenaan.
“Selepas video itu tular, ramai yang bersimpati dengan keadaan fizikal saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan ingin membantu. Saya tidak menyangka video saya berjalan itu mampu memberi kesan kepada orang ramai.
“Saya menyara isteri Nurul Izzaifah Daud, 36, bersama dua orang anak berusia empat dan 11 tahun dengan menjaja keropok menggunakan motosikal roda tiga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Mokkan, Tawang di sini hari ini.
Muhammad Hafidz memberitahu, isterinya yang juga bekas atlet paralimpik sukan petanque dan boling padang mengambil upah membuat sarung tangan di rumah.
Menurutnya, dia menunggang motosikal roda tiga ke Kubang Kerian untuk menjaja keropok yang dihantar oleh peniaga dari Besut, Terengganu.
“Isterinya pula mengambil upah membuat sarung tangan dengan bayaran RM1.20 sekilogram. Dia mampu menyiapkan 10 kilogram sarung tangan yang dihantar dari Pulau Pinang.
“Walaupun pergerakan terbatas apabila hanya mampu merangkak keluar dari rumah sebelum menaiki motosikal roda tiga, saya tetap keluar mencari nafkah untuk menyara isteri dan dua anak saya,” katanya.
Muhammad Hafidz berkata, perbelanjaan keluarga termasuk anak sekolah, baranhan dapur dan pembelian lampin pakai buang isteri mencecah RM1,200 sebulan.
Katanya, dia dan isteri juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM450 sebulan.
“Walaupun bantuan itu sudah mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga, saya tetap akan keluar menjaja keropok selagi sihat.
“Buat masa ini, rezeki tetap ada dan keluarga saya tidak pernah berlapar kerana ada insan yang membantu kami dengan menghantar beras atau ikan,” katanya.
Muhammad Hafidz berkata, kesihatannya dan isteri yang menghidap penyakit saraf semakin merosot apabila sering mengalami kekejangan dan tidak boleh melakukan pekerjaan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas makan ubat.
Menurutnya, dia bimbang pendidikan anaknya akan terjejas sekiranya boleh keluar menghantar anaknya ke sekolah.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Hafidz di talian 017-962 4044 atau terus ke akaun Bank Rakyat miliknya, 2248679095. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas atlet paralimpik tak sangka video berjalan keluar bank tular appeared first on Kosmo Digital.