Auto Added by WPeMatico
Laungan ‘Justice For Zara’ gegar ibu kota malam ini

KUALA LUMPUR – Ratusan individu sudah mula berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sogo bermula pukul 8 malam tadi sebagai tanda solidariti bagi menyuarakan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Himpunan itu yang dimulakan dengan bacaan doa bertujuan untuk menuntut kebenaran dan keadilan berhubung kematian remaja terbabit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan buli.
Pelbagai kain rentang, poster dan sepanduk turut dibawa oleh orang ramai sebagai solidariti kepada keluarga mangsa dan desakan agar pihak berwajib menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.
Laungan ‘Justice For Zara’ turut bergema di lokasi sekali gus menentang dan menolak gejala buli secara keseluruhan.
Difahamkan, himpunan tersebut yang berlangsung sejak semalam dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama pempengaruh dan tokoh rakyat.
Zara Qairina, 13, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Pada 9 Ogos lalu, mayat Zara Qairina digali semula dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat dan dikebumikan semula pada keesokkan harinya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. – KOSMO! ONLINE
The post Laungan ‘Justice For Zara’ gegar ibu kota malam ini appeared first on Kosmo Digital.