Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA NERUS – Pemuda orang kurang upaya (OKU) kategori cerebral palsy, Zulfaqar Aslam Zulkefli, 24, membuktikan kekurangan diri bukan penghalang apabila berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial sekaligus bergelar graduan.
Anak sulung daripada empat beradik itu sebelum ini dikenali kerana sering berkongsi cabaran dan kehidupan seharian sebagai pelajar OKU di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi akaun TikTok.
“Melalui media sosial, saya mahu tunjuk kepada masyarakat bahawa OKU juga mampu hidup berdikari, belajar dan berjaya seperti orang lain. Saya mahu menjadi inspirasi kepada insan senasib agar tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk berhenti berusaha,” katanya ketika ditemui selepas majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-17 di sini hari ini.
Zulfaqar Aslam yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu berkata, ibubapanya, Zulkefli Mamat, 55, dan Rohana Sulong, 55, yang merupakan bekas guru merupakan pendorong terkuat dirinya sejak kecil.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah itu berkata, cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah meyakinkan orang sekeliling bahawa dirinya juga mampu melaksanakan tugasan sama seperti pelajar normal lain.
“Kadang-kadang orang rasa kasihan apabila tengok fizikal saya tapi saya tidak mahu dikasihani. Sebaliknya saya mahu dihormati kerana usaha dan pencapaian sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pempengaruh OKU bergelar graduan UniSZA appeared first on Kosmo Digital.