Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Impian untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri melibatkan beregu lelaki negara pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Jerman tidak kesampaian selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersingkir.
Pada aksi suku akhir di Saarlandhalle, Saarbrucken sebentar tadi, bekas juara dunia itu terpaksa akur tewas menerusi keputusan tiga set 21-11, 14-21, 17-21 kepada Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia.
Meskipun memulakan perlawanan dengan aksi cukup meyakinkan menerusi kemenangan di set pertama, namun Aaron-Wooi Yik gagal mengekalkan momentum tersebut sebelum tewas pada set kedua.
Memasuki set ketiga, pasangan negara pada awalnya mendahului 13-9, namun Sabar Karyaman-Moh Reza kembali mengejar dan memintas kedudukan Aaron-Wooi Yik sebelum melengkapkan kemenangan dalam tempoh 56 minit.

Kekalahan beregu No.2 dunia itu nyata meranapkan impian peminat sukan tanah air untuk menyaksikan pertembungan ‘adik abang’ esok selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir lebih awal.
Wei Chong-Kai Wun terus menggalas misi pada saingan Jelajah Dunia Super 500 itu selepas ‘bermandi peluh’ membenam satu lagi wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 26-24, 21-19.
Sebagai rekod, gandingan No.5 dunia itu sudah memiliki dua gelaran musim ini selepas muncul juara kejohanan Indonesia Masters Januari lalu serta Malaysia Masters pada Mei lepas. – KOSMO! ONLINE
The post Terbuka Hylo: Pertembungan ‘adik abang’ gagal direalisasi appeared first on Kosmo Digital.