Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan kekal memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak akan menerima tuntutan yang hanya memihak kepada satu-satu kaum.
Perdana Menteri berkata, ia termasuk tuntutan berkaitan perjuangan bahasa lain dan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Katanya, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dalam mempertahankan prinsip Perlembagaan khususnya kedudukan bahasa Melayu tanpa mengira siapa pihak yang membuat tuntutan.
“Saya sudah jelaskan saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan.
“Apa yang berbeza? Berbezanya ialah tuntutan itu yang menjurus kepada satu kaum, satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan, kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa dan lain-lain dan itu kita boleh terima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah di Kuah di sini hari ini.
Menurut Anwar, mana-mana pihak yang membawa agenda bahasa perlu memahami bahawa asas negara ini bermula dengan memartabatkan bahasa Melayu yang wajib dikuasai semua rakyat tanpa mengira kaum atau aliran sekolah.
“Kebelakangan ini ada suara-suara dengan pelbagai tuntutan, soal bahasa, ada yang nak pertahankan bahasa Inggeris, ada pengiktirafan UEC. Saya nak jelaskan begini, ini Malaysia dan bahasa Melayu bahasa rasmi.
“Apa juga mesej tentang apa-apa bahasa, kena ingat bahawa bahasa ilmu yang mesti dikuasai semua rakyat ialah bahasa Melayu, yang itu kita noktahkan dahulu,” tegasnya.
Katanya lagi, selepas kedudukan itu jelas, barulah ruang perbincangan berkaitan bahasa lain boleh dibuka.
“Kalau ini dah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris saya setuju tetapi bahasa Melayu dalam bidang teknologi baharu, bahasa untuk kecerdasan buatan (AI) bahasa untuk bahasa ilmu itu mesti dimantapkan.
“Penguasaan bahasa (Melayu) itu harus baik di kalangan semua rakyat, semua aliran tidak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa bagi pelajar Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, sekolah antarabangsa boleh menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, namun pelajar Malaysia tetap diwajibkan lulus dan menguasai bahasa Melayu dengan perkara itu tidak sepatutnya dipertikaikan.
Beliau turut menegaskan tiada masalah untuk universiti menawarkan kursus menggunakan bahasa Cina, selain memperluas penggunaan bahasa Arab di fakulti pengajian Islam di seluruh negara.
Katanya, beberapa kuliah khas menggunakan bahasa Tamil juga boleh dipertimbangkan, namun wacana bahasa tidak boleh berpaksikan satu kaum atau satu bahasa sehingga mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara.
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC. – KOSMO! ONLINE
The post Anwar tolak tuntutan berasaskan kaum, pertahan bahasa kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.