Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Seorang peniaga yang tular memukul warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, bulan lalu terpaksa beraya dalam tirai besi selepas dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin terhadap Saiful Adli Yusof, 52, dalam prosiding semakan hukuman atas dua pertuduhan iaitu mencederakan serta mengugut mahu membunuh Liew Khoon Foo, 70.
Hakim menegaskan tindakan tertuduh jelas tidak wajar dan membawa akibat serius.
“Selepas mendengar semua keterangan, mahkamah guna pakai Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk memanggil semula kes ini dan memutuskan bahawa keputusan denda oleh Mahkamah Majistret diketepikan.
“Kamu dipenjara empat bulan bermula hari ini. Bagi dua pertuduhan, kedua-dua hukuman berjalan serentak,” katanya.
Terdahulu, Khoon Foo membaca penyataan impak mangsa dalam Bahasa Mandarin dengan menyatakan dia mengalami trauma, takut keluar rumah serta tidak lagi berani memandu.
Menurutnya, dia menerima enam jahitan pada lidah sehingga sukar makan selain menafikan sengaja melanggar kenderaan tertuduh.
“Saya tiada niat melanggar keretanya. Mungkin faktor usia menyebabkan kejadian itu berlaku dan laporan polis juga telah dibuat berhubung kemalangan itu.
“Saya takut dia simpan dendam dan mencari saya semula. Saya merayu hukuman setimpal,” katanya.
Peguam Muhammad Syakir Haznal yang mewakili Saiful berhujah anak guamnya tidak terus meluru, sebaliknya mengetuk pintu kenderaan mangsa dan berbincang terlebih dahulu.
Katanya, Saiful telah mengaku salah dan sebelum ini dikenakan denda yang tinggi.
Saiful dalam kandang tertuduh pula memaklumkan hilang pertimbangan selepas kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire miliknya dilanggar sehingga menyebabkan anaknya yang baru berusia tiga hari terlepas daripada dukungan isterinya dan terjatuh.
“Saya sudah membunyikan hon tetapi dia terus memandu, termasuk melanggar lampu isyarat. Saya kejar kira-kira 500 meter. Ketika itu saya dalam perjalanan mencari pam susu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim menegaskan tindakan responden amat kejam berdasarkan rakaman video yang menunjukkan mangsa ditendang tiga kali, ditumbuk dan dikepit pada pintu kereta.
“Negara ini ada undang-undang. Tindakan responden jelas pembuli jalan raya, bertindak semborono dan mengikut amarah. Mohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang memberi keinsafan,” katanya.
Pada 10 Februari lalu, Majistret Mahkamah Kajang, Fatin Dayana Jalil menjatuhi hukuman denda keseluruhan sebanyak RM5,500 selepas Saiful mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Khoon Foo dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Cheras-Hulu Langat, Batu 9 Cheras, pukul 4.05 petang, 8 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara boleh sampai setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bapa empat orang anak itu juga didakwa telah menakutkan secara jenayah terhadap mangsa sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian, di lokasi serta waktu sama, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Negara ini ada undang-undang, tindakan responden jelas pembuli jalan raya’ appeared first on Kosmo Digital.
