Auto Added by WPeMatico
Buta akibat mercun, Mahathir kejar kembali impian di UniSZA

KUALA NERUS – Seorang pemuda yang pernah putus asa dalam hidup akibat buta mata kiri lebih setahun lalu menjadikan pendaftarannya sebagai pelajar baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) semalam sebagai permulaan kebangkitan semula dirinya.
Muhammad Mahathir Hakimi Mod Rosli, 21, mengakui pernah merasakan masa depan musnah ekoran kehilangan sebelah mata akibat letupan mercun sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.
“Tragedi itu membuatkan saya hampir menyerah dalam hidup. Berbulan-bulan saya berhenti belajar, hilang keyakinan diri dan mengurungkan diri di dalam bilik.
“Rasa masa hadapan hancur sedangkan sebelum itu saya merupakan pelajar aktif dan menjawat Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya kampus Bachok,” katanya ketika ditemui di Kampus UniSZA di sini hari ini.
Muhammad Mahathir Hakimi yang ditemani ahli keluarganya mendaftar masuk sebagai pelajar Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa.
Anak tunggal berasal dari Semenyih, Selangor tersebut mula sedar jalan hidupnya masih panjang berkat nasihat ibunya, Norzamira Abdul Aziz, 56, tanpa jemu.
“Saya kembali belajar menghabiskan pengajian peringkat diploma sebelum memohon menyambung ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UniSZA. Bagi saya pendaftaran masuk sebagai pelajar baharu di UniSZA hari ini simbol kemenangan melawan rasa putus asanya sebelum ini,” katanya.
UniSZA menerima kemasukan 2,627 pelajar baharu peringkat Ijazah Sarjana Muda yang akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Buta akibat mercun, Mahathir kejar kembali impian di UniSZA appeared first on Kosmo Digital.