Auto Added by WPeMatico

![]()
HULU SELANGOR – Polis menahan dua wanita tempatan yang dipercayai menyamar sebagai wakil Persatuan Bekas Polis bagi tujuan mendapatkan sumbangan kewangan daripada orang awam di Batu 39, Kuala Lumpur menghala ke Tanjung Malim, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 5.54 petang semalam daripada seorang lelaki tempatan yang menjalankan perniagaan besi buruk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengadu memaklumkan telah didatangi dua individu wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah persatuan bekas polis dan meminta sumbangan sebanyak RM1,000 untuk persatuan terbabit.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor telah menahan dua wanita tempatan berusia 23 dan 37 tahun pada hari sama.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi berwarna perak, seutas kunci kenderaan dan sembilan fail bertajuk Persatuan Kebajikan Harapan Insan Miskin, sebuah beg merah jambu, dua utas rantai perak serta wang tunai berjumlah RM550,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah, manakala ujian air kencing ke atas mereka didapati negatif.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini bagi permohonan reman,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947. – KOSMO! ONLINE
The post Dua wanita ditahan menyamar Persatuan Bekas Polis minta sumbangan RM1,000 appeared first on Kosmo Digital.