Auto Added by WPeMatico

SUNGAI PETANI – Polis memburu seorang lelaki yang disyaki melarikan beg telekung mengandungi barang kemas dan wang tunai milik seorang jemaah di Masjid Batu Lintang, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) memasuki ruang solat jemaah wanita.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek dipercayai melarikan beg milik seorang tukang cuci wanita berusia 56 tahun yang mengikuti kuliah agama di masjid itu.
“Selesai kuliah agama, mangsa meletakkan beg telekung miliknya di tepi tiang ruang solat jemaah wanita sebelum menunaikan solat isyak secara berjemaah.
“Mangsa kemudian menyedari beg telekungnya yang mengandungi wang tunai RM1,000, tiga bentuk cincin emas, seutas rantai leher dan sepasang subang emas tiada selepas selesai solat isyak sebelum memaklumkannya kepada Ahli Jawatankuasa Masjid,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kejadian mengakibatkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM9,000 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tikam Batu.
Tambahnya, semakan CCTV masjid mendapati seorang lelaki memasuki ruang solat jemaah perempuan dan mengambil beg milik mangsa sebelum bergegas meninggalkan kawasan masjid dengan sebuah motosikal bersama seorang wanita.
“Beberapa jemaah masjid bertindak mengejar suspek sehingga ke kawasan Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, namun pasangan itu sempat meloloskan diri.
“Kita sedang mengesan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek dalam usaha untuk menahannya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Jemaah hilang barang kemas, wang tunai ketika solat isyak appeared first on Kosmo Digital.