Auto Added by WPeMatico

TEL AVIV – Sebuah hospital di selatan Israel terkena bedilan selepas Iran melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik hari ini, kata beberapa pegawai, manakala satu lagi letupan dilaporkan oleh perkhidmatan kecemasan di Tel Aviv.
“Hospital Soroka di Beersheba, selatan Israel terkena bedilan peluru berpandu,” kata Kementerian Luar Israel di platform X.
Seorang jurucakap hospital melaporkan mengenai kerosakan pada hospital dan kerosakan besar lain di berbilang kawasan kemudahan itu.
“Kami sedang menilai tahap kerosakan termasuk kecederaan. Kami meminta orang ramai untuk tidak datang ke hospital buat masa ini,” katanya.
Selain berkhidmat kepada penduduk di selatan Israel, hospital Soroka dikenali kerana merawat tentera yang cedera di Gaza.
Siren berbunyi di seluruh Israel awal hari ini ketika tentera Israel berkata, pihaknya mengesan peluru berpandu yang masuk dari Iran, manakala wartawan AFP melaporkan mendengar letupan kuat di Tel Aviv dan Baitulmaqdis.
Seorang pegawai tentera menambah, berpuluh-puluh peluru berpandu balistik telah dilancarkan ke Israel.
Menurut wartawan AFP, letupan yang kedengaran di Baitulmaqdis sekitar pukul 7.10 pagi (waktu tempatan) adalah yang terbesar sejak konflik dengan Iran bermula, Jumaat lepas.
Perkhidmatan kecemasan Israel turut melaporkan impak ‘berhampiran bangunan kediaman’ di Tel Aviv, sambil menambah, tiada kecederaan dilaporkan.
Satu lagi kenyataan menyebut bahawa serpihan peluru berpandu mengenai tiga bangunan kediaman di tengah Israel tanpa memberikan butiran lanjut. – AFP
The post Hospital Israel kena bedilan misil Iran appeared first on Kosmo Digital.