Auto Added by WPeMatico

BALING – Seorang lelaki berusia 59 tahun ditemui meninggal dunia dalam kawasan parit berair di Kampung Bukit Hijau, Kupang, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.18 petang tadi.
Katanya, enam anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Yunus Ali tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah sejak tengah hari tadi sebelum ditemui telah meninggal dunia di dalam parit.
“Anggota penyelamat terpaksa mendaki kira-kira 200 meter untuk sampai lokasi kerana tebing curam dan mangsa didapati masih berada di dalam parit sedalam kira-kira empat meter,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Anggota penyelamat terpaksa menggunakan pengusung untuk membawa mangsa turun sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Difahamkan, mangsa pergi ke lokasi itu untuk melakukan kerja-kerja membaiki saluran paip di situ seorang diri sejak pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki ditemukan tidak bernyawa dalam parit appeared first on Kosmo Digital.