Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti mendedahkan berasa terkejut mendengar kenyataan bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram semasa dia ditahan reman bersama bapa suspek yang menyerang balai polis itu, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Masai, Johor, dua tahun lalu.
Saksi awam yang berusia 24 tahun itu berkata, Radin Imran ada menceritakan dia berasa sedih kerana mendakwa kononnya roh arwah anaknya yang melakukan serangan itu sudah dibawa ‘burung hijau ke syurga’.
Dia yang merupakan saksi ketiga pendakwaan memberitahu, warga emas itu yang juga tertuduh berasa kecewa kerana anaknya, Radin Luqman, 21, (suspek) tidak mengajak dirinya untuk melakukan serangan bersama di balai polis itu.
“Pak cik (Radin Imran) itu juga cakap tentang darah anggota polis, askar dan institusi kerajaan halal dibunuh. Pak cik itu juga tidak keluar rumah sebab mempunyai tanggungjawab jihad dan menyebarkan ajarannya.
“Malah, pak cik itu beritahu dia bergaduh dengan abangnya sendiri kerana mereka enggan mengikuti ajarannya dan berhasrat membunuhnya. Saya mula menyedari pak cik itu adalah berbahaya dan takut dengan keselamatan diri sendiri,” katanya.
Terdahulu saksi yang masih menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta itu berkata, dia bersama bekas teman wanitanya ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung serangan di balai polis itu.
Semasa kejadian 17 Mei 2024, katanya, dia dan wanita itu berada di Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 1 pagi bagi membuat laporan berkaitan gangguan seksual.
Katanya, ketika sedang berbual dengan anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar di luar bangunan balai, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal.
“Lelaki itu meletakkan motosikal di sebelah kanan kawasan balai. Tidak lama kemudian, anggota polis yang bersama saya pergi memeriksa lelaki berkenaan sebelum saya terdengar jeritan kuat kira-kira 15 minit selepas itu.
“Saya kemudian bergegas masuk ke dalam balai untuk meminta bantuan sebelum saya dan bekas teman wanita bersembunyi di bawah meja kerana menyedari keadaan bahaya,” ujarnya lagi.
Beberapa minit kemudian, katanya, dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
“Selepas itu keadaan menjadi sunyi sebelum ambulans tiba di lokasi. Saya dan teman wanita kemudian dibawa keluar ke seberang jejambat (flyover) di hadapan balai.
Saksi itu kemudian dihubungi polis sebelum dibawa ke IPD untuk dirakam keterangan dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sepanjang berada di dalam lokap itu, katanya, dia berpeluang mendengar sendiri ideologi dan pandangan tertuduh pertama hasil perbualan antara mereka.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung lagi esok.- KOSMO! ONLINE
The post Bapa suspek dakwa anaknya dibawa ‘burung hijau ke syurga’ appeared first on Kosmo Digital.
