Auto Added by WPeMatico
Di sebalik legasi hoki, ada TNB

PETALING JAYA – Malaysia pernah berdiri gah sebagai antara kuasa besar hoki Asia apabila layak ke Piala Dunia Hoki 1975 dan muncul pasukan keempat terbaik dunia sekali gus menjadikan momen itu sebagai satu pencapaian terbaik dalam sejarah sukan negara.
Pada era kegemilangan itu, hoki bukan sekadar sukan, malah menjadi simbol semangat, disiplin dan kebanggaan rakyat Malaysia yang menyatukan ribuan penyokong setiap kali skuad negara turun beraksi.
Menyedari besarnya nilai legasi sukan berkenaan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak tahun 2006 terus memainkan peranan penting memastikan hoki Malaysia kekal relevan dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama strategik bersama Malaysia Hockey Confederation (MHC), TNB bukan sahaja menyokong pasukan kebangsaan, tetapi turut berperanan membantu membangunkan keseluruhan ekosistem hoki negara merangkumi pembangunan akar umbi, liga domestik, latihan pemain muda serta penyediaan platform kompetitif untuk generasi baharu.
Bahkan, sepanjang hampir dua dekad kerjasama itu, lebih RM60 juta telah disalurkan oleh TNB bagi pembangunan hoki negara sekali gus membuktikan komitmen jangka panjang syarikat utiliti nasional tersebut terhadap pembangunan belia menerusi sukan.

Bagi tahun 2025, TNB telah menyalurkan lebih RM7.6 juta untuk pelbagai inisiatif termasuk pembangunan liga, kejohanan antarabangsa, latihan pemain muda serta persediaan pasukan kebangsaan.
Komitmen berterusan itu turut melahirkan antara program pembangunan hoki paling berjaya negara iaitu TNB Thunderbolts yang kini diiktiraf sebagai platform pembangunan bakat hoki paling konsisten di Malaysia dengan berjaya mengetengahkan bakat lebih 100 pemain kebangsaan.
Selain menerima bantuan latihan dan peralatan, pemain juga diberikan pendedahan pertandingan kompetitif, pembangunan prestasi serta bimbingan secara berterusan bagi memastikan mereka mampu bersaing di tahap tertinggi.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat muda, TNB komited melaksanakan Program Sekolah Angkat Hoki TNB melibatkan tujuh sekolah di seluruh negara termasuk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Sekolah Sukan Bukit Jalil, SMK Seberang Temerloh, SMK Anderson, SMK Pengkalan Permatang, SMK Syed Hassan dan Sekolah Tinggi Melaka.
Malah, pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 130 sekolah menerima sumbangan set peralatan hoki tajaan TNB bagi memperkasa pembangunan hoki akar umbi di seluruh negara.
Sementara itu, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kerjasama bersama TNB bukan sekadar penajaan biasa, sebaliknya sebuah pelaburan besar terhadap masa depan hoki negara.

“Kerjasama bersama TNB bukan sekadar penajaan, tetapi satu pelaburan besar untuk masa depan hoki negara. Sokongan konsisten TNB memberi keyakinan kepada kami untuk terus membangunkan bakat muda dan memastikan hoki Malaysia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pemain TNB Thunderstars, Faiz Helmi Jali pula mengakui sokongan TNB banyak membantu perjalanan kariernya dalam sukan itu termasuk kemudahan latihan secukupnya.
“Saya berasal daripada keluarga biasa. Sokongan TNB banyak membantu latihan dan peluang saya dalam hoki. Bagi saya, TNB bukan sekadar penaja, tetapi antara sebab saya masih terus bermain hingga hari ini,” katanya.
Pemain hoki kebangsaan dan TNB Thunderstars, Shello Silverius, dia menyifatkan program pembangunan yang disediakan TNB memberi peluang besar kepada bakat baharu terutama pemain muda.
“Program seperti ini membuka peluang besar untuk saya berkembang sebagai pemain. Saya belajar disiplin, keyakinan dan semangat berpasukan. Saya juga bangga melihat TNB terus menyokong pemain muda termasuk hoki wanita,” ujarnya.
Bagi pemain TNB Thunderstars, Nik Muhd Aiman Nik Rozemi, katanya ramai hanya melihat kejayaan pemain di atas padang tanpa mengetahui sokongan besar yang diberikan di belakang tabir.
“Biasanya orang hanya nampak pemain ketika menang, tetapi di sebalik kejayaan itu ada pihak yang konsisten membantu sejak awal. Sokongan seperti diberikan TNB memberi harapan kepada ramai pemain muda untuk terus mengejar impian mereka,” katanya.
Pada masa sama, pemain TNB Thunderstars, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyifatkan program TNB Thunderbolts sebagai platform penting dalam melahirkan pelapis hoki negara secara berterusan.
“Sokongan TNB memberi peluang kepada pemain muda berbakat untuk berkembang dan membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Kapten skuad hoki negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil pula berharap kerjasama strategik itu diteruskan kerana impaknya sangat besar kepada masa depan hoki Malaysia.
Kini, kerjasama strategik antara TNB dan MHC diteruskan lagi bagi tempoh 2026 hingga 2030 dengan fokus kepada pembangunan bakat muda termasuk hoki wanita, pengukuhan liga domestik serta memperkukuh keseluruhan ekosistem sukan hoki negara.
Usaha itu juga selari dengan komitmen ESG TNB khususnya dalam aspek pembangunan sosial dan komuniti, selain menjadikan sukan sebagai platform memperkukuh perpaduan, gaya hidup sihat dan masa depan generasi muda di negara ini. – KOSMO! ONLINE
The post Di sebalik legasi hoki, ada TNB appeared first on Kosmo Digital.
