Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataanya hari ini, memaklumkan sebagai langkah permulaan, penubuhan mahkamah itu akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kenyataan itu turut memaklumkan inisiatif penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah itu dipersetujui oleh Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 semalam.
Seri Paduka Baginda bertitah berhubung keperluan menyediakan hakim berpengalaman untuk mendengar kes rasuah serta menyediakan laluan khas supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Badan Kehakiman Malaysia dalam memperkukuh integriti sistem kehakiman serta memastikan perbicaraan kes rasuah dijalankan secara cekap, telus dan berkesan demi kepentingan keadilan dan negara.
“Pada masa ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara bagi mendengar kes rasuah, dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran,,” kata kenyataan tersebut.
Semalam Sultan Ibrahim menzahirkan amaran keras terhadap golongan yang terlibat dengan amalan rasuah dalam negara.
Seri Paduka Baginda turut menyifatkan mereka sebagai pengkhianat negara yang mesti diperangi secara besar-besaran.
Selain itu, Sultan Ibrahim menitahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak dengan lebih pantas dan tegas tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang individu.
Baginda turut mencadangkan agar pihak kerajaan menyediakan laluan khas di mahkamah serta hakim-hakim yang berpengalaman tinggi supaya kes-kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera tanpa tertangguh. – KOSMO! ONLINE
The post Mahkamah Tinggi Khas Rasuah akan diltubuhkan di Kuala Lumpur appeared first on Kosmo Digital.