Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Astaka Holdings Limited (Astaka) pemaju hartanah bersepadu terkemuka yang berpangkalan di Johor, Malaysia, bakal memajukan sebuah projek pembangunan bercampur dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.2 bilion di One Bukit Senyum, Johor Bahru.
Projek yang akan melibatkan kerjasama daripada CapitalLand Investment Limited (CLI) sebuah pengurus aset hartanah global terkemuka, akan melibatkan pembinaan sebuah pusat beli-belah, bersebelahan dengan bangunan pencakar langit kediamannya yang akan datang iaitu Arden @ One Bukit Senyum (Arden).
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Allen Khong berkata, sejak sedekad yang lalu, syarikat telah menjadi peneraju dalam banyak projek hartanah yang transformatif di Johor Bahru, terutamanya melalui pembangunan utama, One Bukit Senyum.
“Kami telah lama memegang visi untuk membangunkan sebuah daerah perniagaan pusat yang baharu di Johor Bahru sekali gus akan menjadi destinasi kediaman, komersial, peruncitan dan riadah bertaraf dunia.
“Dengan pembangunan fasa ketiga dan terakhir One Bukit Senyum, kami akan merealisasikan sepenuhnya visi ini dan memainkan peranan penting dalam transformasi Johor Bahru menjadi sebuah bandar yang bertenaga dan makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian perkhidmatan nasihat runcit yang telah disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, CLI akan menyediakan sokongan nasihat runcit kepada Astaka, meliputi perancangan aset, serta peringkat pra-pembukaan dan pasca-pembukaan projek tersebut.
Tambah Khong, perkongsian syarikat dengan CLI, yang menguruskan lebih 70 pusat beli-belah di China, Malaysia dan Singapura, bakal mengukuhkan lagi kedudukan syarikat untuk mencapai kejayaan.
“Dengan memanfaatkan kepakaran luas CLI dalam menguruskan destinasi beli-belah yang sibuk, ia akan membolehkan kami membuka potensi sepenuhnya pusat beli-belah gaya hidup kami dan menyumbang secara besar-besaran kepada pertumbuhan dan nilai One Bukit Senyum,” ujarnya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Komersial, CLI, Ervin Yeo memaklumkan, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Astaka dalam pembangunan runcit yang menarik di Johor Bahru ini dan ia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Berdasarkan kepakaran mendalam kami dalam bidang peruncitan dan rekod prestasi yang kukuh dalam mengendalikan destinasi runcit dan gaya hidup yang berjaya di banyak bandar, kami berharap dapat menyokong Astaka dalam mewujudkan pengalaman runcit yang bertenaga di One Bukit Senyum yang menarik minat bukan sahaja warga Johor tempatan tetapi juga pembeli dari tempat lain di Malaysia dan luar negara,” terangnya. -KOSMO! ONLINE
The post Astaka meterai perjanjian dengan CLI bangunkan One Bukit Senyum, Johor Bahru appeared first on Kosmo Digital.