Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Kerajaan bersedia memberi khidmat kaunseling dan psikologi terutama berkaitan agama kepada balu serta anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihaknya memahami situasi dihadapi keluarga terutama balu arwah, Nur Nadia Abdul Majid, 32, ketika ini.
Jelas beliau, kementeriannya menerusi agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama islam negeri sentiasa menyediakan khidmat kaunseling termasuk melibatkan keluarga mangsa kemalangan maut.
“Kita sememangnya mempunyai banyak kaunselor yang boleh membimbing dan memberi nasihat daripada aspek agama.
“Justeru, kita akan cuba membantu sedaya upaya bagi memberi kekuatan dan ketenangan kepada balu serta anak-anak arwah,” katanya ketika ditemui di kediaman Nur Nadia di Pangsapuri Ken Rimba di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan wang tunai dan bantuan persekolahan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Lembaga Tabung Haji (TH), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan TV AlHijrah.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang pembantu makmal yang memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, Ahad lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh di mahkamah.
Mengulas lanjut, kata Zulkifli, pihaknya prihatin dengan nasib keluarga arwah terutama Nur Nadia yang dilihat amat tabah dan sabar dengan ujian dihadapinya itu.-KOSMO! ONLINE.
The post Kerajaan sedia khidmat kaunseling agama kepada balu, anak Amirul Hafiz appeared first on Kosmo Digital.
