Auto Added by WPeMatico
SEKARANG, kita hidup dalam zaman teknologi yang serba canggih. Oleh itu, ramai pelajar sudah memiliki telefon pintar sendiri.
Telefon pintar bukan lagi sekadar alat untuk bermain permainan atau menonton video tetapi menjadi keperluan bagi memudahkan urusan pelajaran dan komunikasi dengan keluarga.
Namun, apabila sudah memiliki telefon pintar, ramai pelajar mula tertarik untuk mencuba media sosial. TikTok, Instagram dan Facebook dilihat sebagai sesuatu yang semakin popular dan menyeronokkan.
Disebabkan media sosial kini menjadi trend dan hampir semua orang menggunakannya, para pelajar juga tidak mahu berasa ketinggalan.
Ramai yang mahu berkongsi gambar, menonton video hiburan atau melihat pelbagai kandungan menarik yang dimuat naik pengguna lain.
Hakikatnya, masih ramai pelajar yang belum cukup umur untuk mempunyai akaun media sosial. Syarat umur minimum yang ditetapkan bukanlah sekadar peraturan tetapi bertujuan melindungi pengguna muda daripada pelbagai risiko yang tidak disedari.
Risiko kandungan tidak sesuai dan ancaman lain
Terdapat video berunsur ganas, bahasa kasar, berita palsu serta kandungan seksual yang boleh muncul tanpa amaran. Semua ini boleh menjejaskan perkembangan minda dan emosi para pelajar.
Dalam diam, terdapat banyak cabaran berbahaya yang boleh mengancam keselamatan jika ditiru semata-mata untuk meraih tontonan dan tanda suka.
Media sosial membuka ruang kepada risiko pedofilia yang menyamar sebagai rakan sebaya untuk mendekati mangsa. Ramai pelajar belum cukup cakna tentang ancaman ini.
Selain itu, para pelajar juga terdedah kepada risiko buli siber. Pada peringkat umur yang masih terlalu awal ini, anda sedang membentuk cara berfikir, jati diri dan keyakinan diri.
Apabila menjadi mangsa buli siber, semua proses perkembangan tersebut boleh terjejas. Kata-kata kesat dan hinaan di media sosial mampu membuatkan mereka berasa rendah diri, hilang keyakinan dan menjejaskan emosi serta pembelajaran harian.
Bukan semua pengguna berhati murni
Niat untuk memuat naik gambar atau video memang hanya untuk suka-suka tetapi bukan semua pengguna media sosial bijak dan berhati murni.
Ada yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan gambar atau video tersebut tanpa kebenaran atau menggunakannya untuk tujuan menghina dan memalukan.
Akhirnya, pelajar yang pada awalnya hanya ingin berkongsi kegembiraan mula berasa takut, malu dan menyesal kerana menjadi bahan ejekan orang lain.
Tidak mempunyai media sosial pada usia muda bukanlah satu kekurangan. Hidup anda tetap lengkap walaupun tanpa TikTok atau Instagram. Gunakan masa ini untuk belajar, bermain, berkawan dan mengenali diri sendiri tanpa gangguan dunia maya.
The post Belum cukup umur, tidak perlu ada media sosial appeared first on Relevan.